Tuesday, July 24, 2007

RUMAH KUTAI

SALAH satu keunikan yang ada di Perak ialah seni bina rumah tradisionalnya yang dikenali sebagai Rumah Kutai. ‘Kutai’ dalam dialek tempatan Perak bermaksud tua maka tidak hairanlah kebanyakan rumah berkenaan yang masih ada sekarang sudah berusia lebih 70 tahun malah ada yang melebihi sekurun umurnya.

Di Kuala Kangsar, ia boleh ditemui di Sayong, Kota Lama Kanan, Kota Lama Kiri dan Menora namun oleh kerana peredaran zaman, ia semakin pupus dan jumlahnya di daerah ini dianggarkan tidak melebihi 15 buah saja. Selain Bandar Diraja ini, penempatan Rumah Kutai hanya boleh ditemui di sekitar pinggir Sungai Perak di daerah Perak Tengah dan Hilir Perak.

Seperti rumah tradisional Melayu yang lain, keunikan Rumah Kutai terletak daripada pembinaannya yang tidak menggunakan sebarang paku tetapi cuma bergantung pada pasak. Sungguhpun begitu ia kukuh dan mampu bertahan daripada bencana alam seperti ribut taufan dan banjir.

Selain itu, keunikan rumah tradisional Perak ini dapat dilihat daripada kehalusan ukiran yang terdapat pada bukaan tingkap, pintu serta dinding dan penggunaan tanggamnya yang pelbagai.

Asas Rumah Kutai ialah sebatang tiang yang dipanggil tiang seri. Selain merupakan asas kepada rumah berkenaan, tiang seri amat signifikan kepada Rumah Kutai. Mengikut kata pewaris rumah-rumah itu yang diperturunkan dari satu generasi ke satu genarasi, tiang seri tersebut akan mengeluarkan bunyi aneh seakan-akan diketuk sekiranya akan berlaku sesuatu perkara yang tidak baik seperti banjir besar dan kematian.

Rumah Kutai yang asal terdiri dari tiga komponen utama bangunan, iaitu rumah ibu, ruang selang dan rumah dapur. Pada rumah ibunya, terdapat ruang serambi.

Rumah Kutai terbahagi kepada dua jenis iaitu Rumah Kutai Tiang 16 dan Rumah Kutai Tiang 12. Namun kebanyakan Rumah Kutai yang masih wujud pada masa kini merupakan Rumah Kutai 16.

Struktur bangunan Rumah Kutai daripada jenis itu menggunakan 16 tiang utama yang merupakan lapan tiang panjang dan lapan tiang serambi naik. Kedudukan tiang-tiang tersebut ialah empat baris memanjang dan empat baris melebar dan keluasannya tapak rumah itu berbentuk empat segi sama.

Manakala Rumah Kutai Tiang 12 pula , rumah ibunya terdiri daripada enam batang tiang panjang dan enam batang tiang serambi naik.

Tiang-tiang itu disusun dalam tiga baris dan setiap baris mempunyai empat batang tiang yang merupakan dua tiang panjang dan dua tiang serambi.

Kebiasaannya, tapak rumah ibu Rumah Kutai Tiang 12 berbentuk empat persegi tepat dengan keluasan 30’x30’ persegi.

Oleh kerana tiang rumah berkenaan diperbuat daripada kayu keras yang bertujuan menahan bebanan berat pada rumah, maka bahan-bahan pada kemasan bumbungnya pula dibentuk dengan keadaan mudah dilentur.

Dengan setiap penjuru bumbung Rumah Kutai mempunyai sudut di antara 45 darjah hingga 50 darjah, kemasan bumbung itu diperbuat daripada atap rumbia.

Rumah Kutai dibina berpanggung iaitu lantainya lebih tinggi dari tanah yang bertujuan untuk menghindarkan bau busuk yang mungkin datang daripada air basuhan yang berlimbahan dari bawah ruang dapur rumah.

Lantainya pula diperbuat daripada bilah-bilah jeria yang disusun agak jarang. Selain dapat digunakan untuk mengintai musuh, lantai yang jarang itu dapat memudahkan air bah surut dan mengalir dengan deras melalui celah-celah lantai itu pada banjir besar sekali gus menggelakkan daripada rumah berkenaan musnah. Selain itu, pembuataan lantai demikian dapat membantu binaan Rumah Kutai juga tidak hanyut walaupun tekanan air yang dibawa banjir besar itu agak
kuat.

Dinding rumah itu dibina daripada kulit kayu tepas. Walaupun cuma diperbuat daripada kulit kayu, ia memang kuat dan tidak mudah dikopak dan dirosakkan oleh pencuri atau golongan lain yang berniat jahat.

Pengaruh Islam juga kuat dalam seni pembinaan Rumah Kutai kerana selain lelaki dan perempuan mempunyai bilik yang berasingan, mereka juga mempunyai ruang-ruang khas tersendiri. Contohnya, serambi hanya khusus untuk kaum lelaki dan ruang selang pula untuk kaum perempuan dan fungsinya dapat dilihat dengan jelas semasa aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri-kendara.

Namun ada juga ruang rumah yang boleh digunakan bersama antara lelaki dan perempuan iaitu ruang dapur dan perigi yang biasanya terletak di luar rumah.

Namun oleh kerana tuntutan masa, kebanyakan Rumah Kutai yang masih ada kini sudah mengalami proses pengubahsuaian seperti komponen dinding dan lantai telah ditukar kepada kepingan papan dan kemasan bumbung diganti daripada atap rumbia kepada kepingan zink.

Menurut catatan yang diperolehi juga menunjukkan selepas Perang Dunia Pertama, Rumah Kutai tidak dibina lagi di Perak. Malah sebahagian rumah berkenaan yang ada kini dibiar usang kerana ditinggalkan begitu saja tanpa berpenghuni dipercayai pemiliknya sudah meninggal dunia manakala waris mereka telah berhijrah ke kawasan lain.

No comments: