Tuesday, July 24, 2007

Pengawal keselamatan durjana

SEORANG pengawal keselamatan sebuah sekolah asrama di Gerik ditahan 23 Julai lalu kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan tingkatan satu sekolah itu pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supritanden Mahad Nor Abdullah berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan berikutan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun pada 21 Julai lalu.

Beliau berkata, pelajar tersebut yang merupakan salah seorang penghuni asrama di sekolah berkenana mendakwa diperkosa di dalam sebuah bilik pengawal dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam.

"Berdasarkan laporan, pengadu yang sedang menjalani latihan nasyid pada ketika itu telah dipanggil oleh suspek yang mengatakan kononnya ibubapa mangsa datang dan sedang menunggu di bilik pengawal.

"Mangsa kemudiannya mengikut suspek, namun sesampainya di bilik berkenaan, ibu bapa mangsa pengadu bukan sahaja tidak ada malah pengawal keselamatan itu tiba-tiba bertindak memukul mangsa hingga pengsan," katanya.

Mahad berkata, walaupun lengkap berpakaian, sebaik sahaja pelajar itu sedar semula daripada pengsan, dia berasa sakit di bahagian alat sulit.

Katanya, pegawal keselamatan terbabit kemudiannya memberi amaran mangsa supaya tidak melaporkan perkara itu kepada sesiapa dan menggugut akan mencederakannya sekiranya ia diketahui.

Beliau berkata, oleh kerana takutkan ugutan berkenaan, pelajar tersebut merahsiakan kejadian itu dan menjadi tertekan dan berubah sikap dengan menjadi seorang yang pendiam dan pemarah.

Namun segala terbongkar apabila kakak iparnya menyedari perubahan sikap mangsa selepas dia pulang ke rumah dari asrama pada Sabtu lalu.

"Kakak ipar mangsa bertindak menyoal pelajar itu dan apabila mangsa mencerita apa yang terjadi, mereka kemudiannya membuat laporan polis di balai polis berhampiran," katanya.

Mahad memberitahu kes tersebut kini disiasat dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga dua puluh tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

No comments: