Tuesday, July 24, 2007

Fruktosa dari rumbia

POKOK rumbia yang tumbuh meliar di sekitar Perak terutamanya di Parit kini semakin berharga apabila dikenalpasti berpotensi tinggi untuk menjadi alternatif terbaik menjadi bahan mentah bagi pemprosesan fruktosa, sejenis gula pengganti.

Pengarah Urusan Taiwan Fructose (M) Sdn. Bhd. (Taiwan Fructose), Kang Chih Liang berkata, walaupun pada masa ini, bahan mentah yang biasa digunakan untuk menghasilkan fruktosa ialah ubi kayu, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikatnya mendapati tepung
sagu daripada rumbia yang merupakan sumber asli tempatan juga boleh menggantikannya.

“Biasanya kami perlu mengeksport tepung ubi kayu dari Thailand, Indonesia dan Korea Selatan untuk hasilkan fruktosa, namun pengantungan secara total ini tidak begitu efektif untuk jangka
panjang.

“Oleh itu kami bercadang untuk menggunakan sumber tempatan seperti sagu pada masa depan,” katanya.

Taiwan Fructose yang merupakan kilang memproses fruktosa pertama usahasama tempatan dan pengeluar dari Taiwan di Asia Tenggara itu dijangka mula beroperasi pada Oktober ini.

Fruktosa ialah sejenis gula pengganti gula tebu yang semakin popular dan mendapat permintaan tinggi dalam industri pembuatan makanan dan minuman.

Chih Liang berkata, selain sagu rumbia, mereka juga mendapati sagu daripada pokok nipah yang banyak terdapat di persisiran sungai di negeri ini juga berpotensi untuk menjadi bahan mentah dalam pembuatan fruktosa.

Tuanku Zara dari kaca mata seorang guru

“SEJAK mengenali Zara sejak kecil, saya dapat rasakan suatu hari nanti beliau akan jadi terkenal.

“Tapi tak sangka pula beliau menjadi Raja Cik Puan Besar Perak, saya sebagai salah seorang gurunya amat berbesar hati.

Jelas Datin Azian Ahmad Shaharbi, 47, salah seorang bekas guru Sekolah Menengah Kebangasaan (SMK) Convent Ipoh yang pernah mengajar Tuanku Zara Salim, 34, ketika Raja Cik Puan Besar Perak itu berada di Tingkatan Dua sekolah berkenaan pada 1987.

Azian berkata, perkenalan beliau dengan Tuanku Zara bermula pada 1983 ketika gadis itu berada di Tahun Empat, Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Ipoh gara-gara sering terserempak dengannya di kawasan sekolah.

Beliau berkata, kecomelan wajah Tuanku Zara ketika itu telah menarik hati sebilangan guru di SK dan SMK Convent Ipoh termasuk dirinya.

“Apatah lagi beliau bukan saja cemerlang dalam pelajaran malah turut aktif dalam kokurikulum terutamanya sukan renang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rapat Setia Baru pada 13 Mei lalu.

Azian yang kini merupakan Guru Besar SK Tarcision Convent, di sini berkata, kecemerlangan itu diteruskan ketika Tuanku Zara memasuki persekolahan menengah di SMK Convent Ipoh.

Beliau memberitahu sempat mengajar Zara dalam beberapa matapelajaran ketika isteri Raja Muda Perak , Raja Dr. Nazrin Shah itu berada di Tingkatan Dua.

Katanya, walaupun Tuanku Zara amat aktif dalam pelbagai kegiatan kokurikulum, beliau bijak membahagikan masa dan sentiasa bersedia semasa berada di dalam kelas.

Azian yang mengajar mata pelajaran Sejarah, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ketika mengajar di SMK Convent Ipoh dari 1982 hingga 1995 berkata, selain aktif dalam sukan renang, tenis, skuasy, taekwondo, Tuanku Zara juga melakukan aktiviti kemasyarakatan melalui Kelab Interact.

Katanya, sepanjang mengenali Tuanku Zara, beliau berpendapat bakal Raja Cik Puan Besar Perak itu adalah seorang yang sederhana dan merendah diri walaupun berasal dari keluarga yang berprofil tinggi.

Azian yang berbangga dan menganggap perkahwinan anak muridnya itu dengan Raja Nazrin itu pada 17 Mei lalu adalah hadiah Hari Guru yang paling bernilai yang kebetulan jatuh pada satu hari sebelum hari bersejarah itu.

KPEC diperluas

MELIHAT keberkesanan program K- Perak Kluster E-Pembelajaran (KPEC) di beberapa sekolah di Perak, Kementerian Pelajaran bercadang untuk memperluaskannya ke semua 88 Sekolah Bestari di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, projek rintis KPEC yang merangkaikan lima sekolah di negeri ini dengan sekolah di New Zealand melalui pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menunjukkan perkembangan memberansangkan.

"Walaupun baru bermula empat bulan lalu, saya tertarik dengan idea kerajaan negeri merangkaikan sekolah terpilih di negeri ini dengan sekolah di negara berkenaan.

"Ia projek yang baik dan kerajaan New Zealand sendiri telah tunjukkan komitmen jitu, oleh itu, saya bercadang untuk memperluaskannya ke sekolah di seluruh negara," katanya.

SMRPK merupakan salah satu sekolah yang terlibat dalam projek rintis KPEC yang menelan belanja RM1.2 juta selain SMK Matang, Taiping, Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang, Ipoh, SK Seri Andika Raja, Gerik dan SK Seri Bayu, Lumut.

Program KPEC adalah inisiasif kerajaan negeri Perak melalui K-Perak Incorporated dengan kerjasama Innovation New Zealand Education, sebuah badan kerajaan dari negara Oceania itu.

Hissamuddin berkata, buat permulaan kementeriaannya mensasarkan KPEC diperkembangkan di semua Sekolah Bestari di seluruh negara dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kementeriannya percaya program berkenaan dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepelbagaian persekitaran dan peluang mempelajari budaya asing.

Katanya, selain itu, guru terlibat juga boleh berkongsi pandangan tentang standard dan strategi pendidikan terkini dengan tenaga pengajar di negara tersebut.

Asal Usul Kampung Kacang Putih, Ipoh

KAMPUNG Kacang Putih yang terletak di Buntong, Ipoh, Perak sebenarnya bukanlah penempatan asal pengusaha kacang putih tersebut.

Kebanyakan penduduk perkampungan itu berasal dari kaki Gunung Cheroh, Ipoh, Perak. Lokasi asal perkampungan tersebut kini berhampiran dengan Kuil Sri Subramaniar yang merupakan tumpuan utama penganut Hindu di Perak meraikan perayaan Thaipusam setiap tahun.

Majoriti mereka yang berhijrah dari India dipercayai menjalankan perniagaan kacang putih secara kecil-kecilan setelah menetap di kaki gunung batu kapur berkenaan sejak abad ke-19.

Namun dalam satu kejadian malang pada 18 Oktober 1973, perkampungan yang dihuni kira-kira 14 keluarga itu lenyap begitu saja apabila dihempap bongkah-bongkah batu kapur yang runtuh gara-gara hujan lebat.

Dalam kejadian yang menggemparkan pada kira-kira pukul 7 malam itu, kira-kira 40 penduduk kampung terbabit terbunuh. Hanya kira-kira 20 mangsa terbabit dijumpai semetara yang lain masih terperangkap di dalam runtuhan bongkah batu kapur terbabit sehingga hari ini.

Ia kerana pasukan penyelamat terpaksa memutuskan untuk menghentikan operasi mencari saki-baki mangsa berkenaan ekoran faktor geografi dan keselamatan.

Oleh itu, kekallah kawasan berkenaan menjadi 'tanah perkuburan tak bernisan' sehingga sekarang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ipoh (MPI) pada masa itu, Datuk S.P. Seenivasagam pernah mencadangkan kawasan itu diabadikan menjadi taman peringatan namun selepas 34 tahun berlalu masih tiada usaha untuk merealisasikan cadangan itu.

Kerajaan Negeri Perak yang ketika itu dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Kamaruddin Mat Isa telah menganugerahkan sebidang tanah di Buntong, Ipoh, Perak yang terletak lebih kurang lima kilometer dari tempat kejadian sebagai tanda simpati kepada mangsa.

Di penempatan baru itu, penduduk yang terselamat meneruskan perniagaan kacang putih dengan penghasilan produk kacang putih seperti kacang santong, vadei, pakoda, kacang hijau dan murukku yang telah diwarisi secara turun-temurun.

Oleh kerana hampir semua keluarga yang memulakan hidup baru berkenaan terlibat dalam industri kacang putih, mereka kemudiannya bersepakat menamakan perkampungan baru tersebut sebagai Kampung Kacang Putih dan ia terus kekal hingga sekarang.

Sesuai dengan peredaran masa, perniagaan kacang putih di Kampung Kacang Putih terus berkembang maju dengan sekurang-kurangnya 150 orang daripada 40 keluarga yang menetap di sini terbabit dalam industri tersebut.

Jika pada 30 tahun lalu, kebanyakan pengusaha pada masa itu menjual kacang putih dengan berbasikal dan berjalan kaki saja, kini kebanyakan mereka memasarkan produk berkenan dengan motosikal dan van.

Malah, produk kacang putih kini bukan saja di jual di kaki lima namun sudah mendapat tempat di pasaran antarabangsa dan dieksport ke luar negara seperti Australia, Thailand, Jepun, Thailand dan Taiwan.

Oleh itu, ketika kita mengunjah kacang putih yang enak, elok kita ambil iktibar daripada kegigihan penduduk Kampung Kacang Putih yang mampu bangkit kembali daripada peristiwa luka kehilangan keluarga untuk meneruskan perusahaan produk kacang putih yang diwarisi.

Tertuduh bawah umur lari

SEORANG remaja berusia 16 tahun yang merupakan salah seorang daripada empat tertuduh kes samun dan rogol seorang kakitangan wanita sebuah pusat pengajian tinggi di Tronoh 14 Mei lalu dilaporkan telah menghilangkan diri diri daripada Asrama Akhlak Silibin di sini baru-baru ini.

Perkara itu diketahui apabila tertuduh yang sepatutnya hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan kes berkenaan pada 23 Julai lalu didapati gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, tiga tertuduh lain termasuk dua remaja bawah umur berusia 16 dan 17 tahun yang turut ditempatkan ke asrama akhlak sama menghadirkan diri ke mahkamah.

Peguam Wong Koh Woh kemudiannya memaklumkan Hakim Rashidah Chik bahawa remaja tersebut yang ditempatkan di asrama akhlak tersebut sejak 24 Mei lalu setelah gagal melunaskan wang jaminan dipercayai melarikan diri dari asrama akhlak itu beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, Koh Wong dari Biro Bantuan Guaman yang mewakili semua tertuduh yang di bawah umur itu tidak menjelaskan butiran sebenar kehilangan tertuduh kepada mahkamah.

Terdahulu, kes tersebut yang sepatutnya disebut di hadapan Hakim Hashim Hamzah dipindahkan sementara kepada Rashidah setelah Hashim dilaporkan sedang menghadiri seminar di Pulau Langkawi.

Rashidah kemudiannya menangguhkan keputusan kes tersebut pada 30 Julai ini.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Syahrulnizam Jamali Ali, 23, yang sebelum mengaku bersalah atas tuduhan menyamun dan merogol mangsa bertindak menukar pengakuan semalam dan minta dibicarakan.

Hakim kemudiannya memutuskan pembicaraan tertuduh terbabit yang masih belum diwakili penguam bermula pada 1 Oktober depan.

Keempat-empat tertuduh dihadapkan ke mahkamah 23 Mei lalu atas tuduhan terlibat dalam kes rompakan dan rogol seorang kakitangan wanita sebuah pusat pengajian tinggi di Tronoh.

Mereka yang berjiran dengan mangsa dituduh melakukan jenayah rompakan dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa di sebuah rumah di Taman Medan Bali Mas, Tronoh pada 14 Mei lalu.

Selain itu, Syahrulnizam juga dihadapkan dengan tuduhan tambahan dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol mangsa dalam kejadian pada kira-kira 2 pagi itu.

Pengawal keselamatan durjana

SEORANG pengawal keselamatan sebuah sekolah asrama di Gerik ditahan 23 Julai lalu kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan tingkatan satu sekolah itu pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supritanden Mahad Nor Abdullah berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan berikutan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun pada 21 Julai lalu.

Beliau berkata, pelajar tersebut yang merupakan salah seorang penghuni asrama di sekolah berkenana mendakwa diperkosa di dalam sebuah bilik pengawal dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam.

"Berdasarkan laporan, pengadu yang sedang menjalani latihan nasyid pada ketika itu telah dipanggil oleh suspek yang mengatakan kononnya ibubapa mangsa datang dan sedang menunggu di bilik pengawal.

"Mangsa kemudiannya mengikut suspek, namun sesampainya di bilik berkenaan, ibu bapa mangsa pengadu bukan sahaja tidak ada malah pengawal keselamatan itu tiba-tiba bertindak memukul mangsa hingga pengsan," katanya.

Mahad berkata, walaupun lengkap berpakaian, sebaik sahaja pelajar itu sedar semula daripada pengsan, dia berasa sakit di bahagian alat sulit.

Katanya, pegawal keselamatan terbabit kemudiannya memberi amaran mangsa supaya tidak melaporkan perkara itu kepada sesiapa dan menggugut akan mencederakannya sekiranya ia diketahui.

Beliau berkata, oleh kerana takutkan ugutan berkenaan, pelajar tersebut merahsiakan kejadian itu dan menjadi tertekan dan berubah sikap dengan menjadi seorang yang pendiam dan pemarah.

Namun segala terbongkar apabila kakak iparnya menyedari perubahan sikap mangsa selepas dia pulang ke rumah dari asrama pada Sabtu lalu.

"Kakak ipar mangsa bertindak menyoal pelajar itu dan apabila mangsa mencerita apa yang terjadi, mereka kemudiannya membuat laporan polis di balai polis berhampiran," katanya.

Mahad memberitahu kes tersebut kini disiasat dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga dua puluh tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

RUMAH KUTAI

SALAH satu keunikan yang ada di Perak ialah seni bina rumah tradisionalnya yang dikenali sebagai Rumah Kutai. ‘Kutai’ dalam dialek tempatan Perak bermaksud tua maka tidak hairanlah kebanyakan rumah berkenaan yang masih ada sekarang sudah berusia lebih 70 tahun malah ada yang melebihi sekurun umurnya.

Di Kuala Kangsar, ia boleh ditemui di Sayong, Kota Lama Kanan, Kota Lama Kiri dan Menora namun oleh kerana peredaran zaman, ia semakin pupus dan jumlahnya di daerah ini dianggarkan tidak melebihi 15 buah saja. Selain Bandar Diraja ini, penempatan Rumah Kutai hanya boleh ditemui di sekitar pinggir Sungai Perak di daerah Perak Tengah dan Hilir Perak.

Seperti rumah tradisional Melayu yang lain, keunikan Rumah Kutai terletak daripada pembinaannya yang tidak menggunakan sebarang paku tetapi cuma bergantung pada pasak. Sungguhpun begitu ia kukuh dan mampu bertahan daripada bencana alam seperti ribut taufan dan banjir.

Selain itu, keunikan rumah tradisional Perak ini dapat dilihat daripada kehalusan ukiran yang terdapat pada bukaan tingkap, pintu serta dinding dan penggunaan tanggamnya yang pelbagai.

Asas Rumah Kutai ialah sebatang tiang yang dipanggil tiang seri. Selain merupakan asas kepada rumah berkenaan, tiang seri amat signifikan kepada Rumah Kutai. Mengikut kata pewaris rumah-rumah itu yang diperturunkan dari satu generasi ke satu genarasi, tiang seri tersebut akan mengeluarkan bunyi aneh seakan-akan diketuk sekiranya akan berlaku sesuatu perkara yang tidak baik seperti banjir besar dan kematian.

Rumah Kutai yang asal terdiri dari tiga komponen utama bangunan, iaitu rumah ibu, ruang selang dan rumah dapur. Pada rumah ibunya, terdapat ruang serambi.

Rumah Kutai terbahagi kepada dua jenis iaitu Rumah Kutai Tiang 16 dan Rumah Kutai Tiang 12. Namun kebanyakan Rumah Kutai yang masih wujud pada masa kini merupakan Rumah Kutai 16.

Struktur bangunan Rumah Kutai daripada jenis itu menggunakan 16 tiang utama yang merupakan lapan tiang panjang dan lapan tiang serambi naik. Kedudukan tiang-tiang tersebut ialah empat baris memanjang dan empat baris melebar dan keluasannya tapak rumah itu berbentuk empat segi sama.

Manakala Rumah Kutai Tiang 12 pula , rumah ibunya terdiri daripada enam batang tiang panjang dan enam batang tiang serambi naik.

Tiang-tiang itu disusun dalam tiga baris dan setiap baris mempunyai empat batang tiang yang merupakan dua tiang panjang dan dua tiang serambi.

Kebiasaannya, tapak rumah ibu Rumah Kutai Tiang 12 berbentuk empat persegi tepat dengan keluasan 30’x30’ persegi.

Oleh kerana tiang rumah berkenaan diperbuat daripada kayu keras yang bertujuan menahan bebanan berat pada rumah, maka bahan-bahan pada kemasan bumbungnya pula dibentuk dengan keadaan mudah dilentur.

Dengan setiap penjuru bumbung Rumah Kutai mempunyai sudut di antara 45 darjah hingga 50 darjah, kemasan bumbung itu diperbuat daripada atap rumbia.

Rumah Kutai dibina berpanggung iaitu lantainya lebih tinggi dari tanah yang bertujuan untuk menghindarkan bau busuk yang mungkin datang daripada air basuhan yang berlimbahan dari bawah ruang dapur rumah.

Lantainya pula diperbuat daripada bilah-bilah jeria yang disusun agak jarang. Selain dapat digunakan untuk mengintai musuh, lantai yang jarang itu dapat memudahkan air bah surut dan mengalir dengan deras melalui celah-celah lantai itu pada banjir besar sekali gus menggelakkan daripada rumah berkenaan musnah. Selain itu, pembuataan lantai demikian dapat membantu binaan Rumah Kutai juga tidak hanyut walaupun tekanan air yang dibawa banjir besar itu agak
kuat.

Dinding rumah itu dibina daripada kulit kayu tepas. Walaupun cuma diperbuat daripada kulit kayu, ia memang kuat dan tidak mudah dikopak dan dirosakkan oleh pencuri atau golongan lain yang berniat jahat.

Pengaruh Islam juga kuat dalam seni pembinaan Rumah Kutai kerana selain lelaki dan perempuan mempunyai bilik yang berasingan, mereka juga mempunyai ruang-ruang khas tersendiri. Contohnya, serambi hanya khusus untuk kaum lelaki dan ruang selang pula untuk kaum perempuan dan fungsinya dapat dilihat dengan jelas semasa aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri-kendara.

Namun ada juga ruang rumah yang boleh digunakan bersama antara lelaki dan perempuan iaitu ruang dapur dan perigi yang biasanya terletak di luar rumah.

Namun oleh kerana tuntutan masa, kebanyakan Rumah Kutai yang masih ada kini sudah mengalami proses pengubahsuaian seperti komponen dinding dan lantai telah ditukar kepada kepingan papan dan kemasan bumbung diganti daripada atap rumbia kepada kepingan zink.

Menurut catatan yang diperolehi juga menunjukkan selepas Perang Dunia Pertama, Rumah Kutai tidak dibina lagi di Perak. Malah sebahagian rumah berkenaan yang ada kini dibiar usang kerana ditinggalkan begitu saja tanpa berpenghuni dipercayai pemiliknya sudah meninggal dunia manakala waris mereka telah berhijrah ke kawasan lain.

PELUANG KEDUA

KITA sering berniat melakukan sesuatu yang baik untuk membaiki diri

.Namun biasanya memulakan langkah pertama ke arah itu seakan sukar

dan payah.

Azam sahaja tidak cukup untuk menggerakkan perubahan itu,lantas

kita memerlukan 'pelincir' yang dinamakan motivasi.

Motivasi ini boleh diperolehi dalam pelbagai keadaan dan

kadang-kala boleh didapati daripada peristiwa kecil yang

kemudiannya mendorong kuat kita untuk berusaha mencapai sesuatu

yang besar sehingga mampu merubah sesebuah perjalanan hidup.

Itulah yang aku belajar pada Ahad lalu (22 Julai 2007) apabila

ditugaskan untuk membuat liputan Hari Orientasi Universiti

Teknologi Wawasan (WOU) cawangan Ipoh, Perak.

Aku yang menemuduga beberapa pelajar baru yang mendaftar dalam

Semester 2/2007 di universiti itu tertarik dengan seorang pemandu

teksi yang hanya berlulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

N. Velayutham, 46, yang berasal dari Tanjung Malim, Perak

meninggalkan alam persekolahan pada 1976 ketika berusia usia 15

tahun kerana kesempitan hidup.

Beliau yang memandu teksi di bandar raya Ipoh sejak 13 tahun lalu

berkata, hasratnya untuk kembali melanjutkan pelajaran yang

tertangguh sejak 31 tahun bermula apabila beliau menemani anaknya

mengambil keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)

Disember lalu.

Beliau berkata, anaknya, V. Shamni, 16, yang kini merupakan pelajar

tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan, Ipoh

mendapat keputusan cemerlang 7A dalam peperiksaan berkenaan.

Menurutnya, perasaan pada ketika itu agak terbaur, gembira kerana

anak mencapai kejayaan cemerlang, terkelu apabila mengenangkan

beliau cuma berkelulusan SRP sahaja.

“Perasaan nak sambung belajar untuk baiki taraf hidup tiba-tiba

muncul, saya terfikir kalau anak saya boleh cemerlang dalam

pelajaran, kenapa tidak saya,” katanya.

Velayutham dari Desa Pinji, Ipoh berkata, suara hatinya itu

seolah-olah difahami anaknya.

Shamni kemudiannya mencadangkan beliau mengambil peperiksaan Sijil

Pelajaran Malaysia (SPM) bersama-sama pada 2008.

Beliau berkata, walaupun pada mula bersetuju dengan idea tersebut,

namun beliau kemudiannya memilih WOU.

Velayutham berkata, melalui salah seorang kawannya, beliau

mengetahui WOU adalah sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang

mengamalkan sistem terbuka dan memberi peluang kepada golongan

pekerja melanjutkan pelajaran dengan syarat kemasukan minimum ialah

SPR dan PMR sahaja.

Katanya, setelah berbincang dengan keluarga dan mendapat ’restu’

isterinya, beliau mengambil keputusan melanjutkan pelajaran di IPT

berkenaan.

Beliau berkata, pada Januari lalu, beliau mendaftarkan diri

mengikuti program asas Bahasa Inggeris Asas dan Skil Pembelajaran

yang merupakan antara syarat sebelum dapat melanjutkan pelajaran ke

peringkat Sarjana Muda di WOU.

Kini, setelah lulus cemerlang dalam program tersebut, Velayutham

yang merupakan bapa kepada lima anak bersedia untuk mengikuti

kursus Sarjana Muda Perniagaan dan Pengurusan selama lima tahun di

IPT itu bermula 23 Julai lalu.

Aku berdoa agar dalam tempoh tersebut, beliau terus tekun dan

sentiasa bersemangat menjalani hidup sebagai pelajar dan seterusnya

mengenggam segulung ijazah yang diimpikan.

Percayalah walaupun sudah berusia 51 tahun pada waktu itu, ia belum

terlambat untuk beliau mengubah taraf hidup berbekalkan ijazah

berkenaan.